Rabu, 28 Mac 2012

Dimana ERTI sebuah Kasih Sayang Sesama Islam?

Kebelakangan ini terlalu banyak peristiwa yang cukup mengguris hati berlaku dalam negara ini.Paling menyedihkan hati apabila melihat saudara seagama malah sebangsa bercakaran sesama sendiri kerana merebutkan kuasa hingga sanggup berpakat dengan mereka yang jelas sekali menentang  islam.

Seolah-olah bagaikan tiada lagi sinar penyatuan bagi bangsa melayu islam dalam negara ini apabila masing-masing terus mengemukakan hujah-hujah dangkal yang sama sekali menjejaskan prinsip persaudaraan dalam islam.Kelompok mereka yang bergelar pemimpin berterusan mencipta pelbagai kenyataan dan momokan keterlaluan hinggakan menimbulkan kegelisahan kepada rakyat khususnya bagi kita bangsa melayu islam.

Sebak makin mencengkam perasaan apabila generasi muda perisai masa hadapan malah bakal mewarisi kepimpinan berterusan dimomokkan dengan perbuatan yang cukup memualkan malah mungkin mencetuskan keadaan yang tidak menyenangkan andainya pihak berkenaan tidak membendung segera segala perbuatan yang memcemarkan imej sebagai anak merdeka.Semakin hari semakin mereka ingin menonjolkan sifat keterlaluan tanpa memikirkan tentang aspek-aspek keselamatan yang bisa mengundang padah pada mereka.Ini semua kerana segelintir kita masih ingin melihat keadaan huru-hara kembali bertandang hanya kerana rasa ketidakpuasan hati sesetengah mereka yang bergelar pemimpin.

Sejarah mereka lupakan kerana terlalu seronok melihat akan satu ketaksuban yang akhirnya mereka sendiri rebah ditepian jalan kerana terlalu mengikut perasaan.Pemimpin mereka terus berterusan mencipta khayalan walaupun sanggup menjadi petualang asalkan kuasa dapat mereka genggam.Secara tidak sedar institusi yang berteraskan kasih sayang sebagaimana suruhan Tuhan berlalu bagaikan awan ditiup angin malah berganti dengan taufan yang bernadakan kemungkaran dan kesesatan.

Siapa lagi yang harus disalahkan andai takdirnya negara ini bakal berkumandang dengan gegaran letupan dan bedilan kalau tidak kepada mereka yang sekarang ini bergelar saf kepimpinan?Sepatutnya pemimpin memuliakan persaudaraan malah menjunjung tinggi kasih sayang apalagi para pimpinan kita adalah islam!Tetapi tiada persepakatan malah saling ingin bermusuhan tanpa ingin mencari titik perdamaian dan noktah persetujuan terus menjadi duri dalam daging bagi sebuah persaudaraan.Dimana ERTI sebuah kasih sayang jika keadaan ini kita biarkan berterusan?....Wasslam