Rabu, 13 Jun 2012

Jahil dalam berilmu

Semakin hari semakin melalut nampaknya mereka yg jelas rakus ingin berkuasa.Masing-masing mencipta idea dan cerita serta fitnah dusta malah lebih dahsyat sanggup menidakkan tuntutan agama hanya dengan satu matlamat iaitu untuk mendapatkan kuasa.

Bukankah setiap orang islam itu bersaudara?Bukankah suruhan Allah dan RasulNya untuk mengelakkan sengketa sesama saudara malah mengasihi saudara seislamnya seperti mengasihi dirinya sendiri?Apakah kita menjadi lalai dan lupa hanya kerana nampak kuasa didepan mata lalu kita sanggup berdusta hatta terhadap agama?Apakah ini namanya perjuangan yang mulia?

Kita menjadi terlalu hina walau agama senantiasa ada sebagai pendinding utama namun masih tidak bisa untuk menjadikan kita sebagai orang yg mulia.Malah kita sesama saudara berterusan mencipta sengketa mungkin hingga kiamat tiba tanpa rasa ingin menamatkannya.Jahil dalam berilmu rupanya mereka yang dikatakan amat pakar dalam hal ehwal agama.

Setelah bergembira kononnya Bersih 3.0 mendapat liputan hingga sampai Tanah Haram disana namun apakah maknanya kalau perbuatan ini memberi palit ke muka malah menjadikan suasana tidak seronok kerana cetusannya disana yang terkenal dengan sejarah pemerintah monarkinya.Apalagi hawa angin perubahan masih berterusan ada di Asia Barat yang mana memberi impak yang kuat kiranya kerajaan disana tidak membendung pautannya.Siapa yang gembira dan siapa pula yang mendapat bahana kalau bukan kita juga akhirnya?Ini bukan mainan politik tapi kita yang jelas dengan perbuatan yang tidak menggembirakan suasana mereka disana.

Kini ibadah haji yang menjadi rukun islam ke5 pula yang jd sasarannya.Apakah makna sengketa agama ini kalau tidak kerana mengejar kuasa.Bukankah wajib hukumya jika mampu dan cukup semua syaratnya bagi mereka untuk pergi menunaikan ibadat yg ke5.Tapi bagi mereka yang siang malam ingatkan kuasa sanggup merayu pada pengikutnya agar menangguhkan ibdat ini demi kepuasan sesetengah pemimpin.Dahsyatnya mengejar kuasa.

Rabu, 28 Mac 2012

Dimana ERTI sebuah Kasih Sayang Sesama Islam?

Kebelakangan ini terlalu banyak peristiwa yang cukup mengguris hati berlaku dalam negara ini.Paling menyedihkan hati apabila melihat saudara seagama malah sebangsa bercakaran sesama sendiri kerana merebutkan kuasa hingga sanggup berpakat dengan mereka yang jelas sekali menentang  islam.

Seolah-olah bagaikan tiada lagi sinar penyatuan bagi bangsa melayu islam dalam negara ini apabila masing-masing terus mengemukakan hujah-hujah dangkal yang sama sekali menjejaskan prinsip persaudaraan dalam islam.Kelompok mereka yang bergelar pemimpin berterusan mencipta pelbagai kenyataan dan momokan keterlaluan hinggakan menimbulkan kegelisahan kepada rakyat khususnya bagi kita bangsa melayu islam.

Sebak makin mencengkam perasaan apabila generasi muda perisai masa hadapan malah bakal mewarisi kepimpinan berterusan dimomokkan dengan perbuatan yang cukup memualkan malah mungkin mencetuskan keadaan yang tidak menyenangkan andainya pihak berkenaan tidak membendung segera segala perbuatan yang memcemarkan imej sebagai anak merdeka.Semakin hari semakin mereka ingin menonjolkan sifat keterlaluan tanpa memikirkan tentang aspek-aspek keselamatan yang bisa mengundang padah pada mereka.Ini semua kerana segelintir kita masih ingin melihat keadaan huru-hara kembali bertandang hanya kerana rasa ketidakpuasan hati sesetengah mereka yang bergelar pemimpin.

Sejarah mereka lupakan kerana terlalu seronok melihat akan satu ketaksuban yang akhirnya mereka sendiri rebah ditepian jalan kerana terlalu mengikut perasaan.Pemimpin mereka terus berterusan mencipta khayalan walaupun sanggup menjadi petualang asalkan kuasa dapat mereka genggam.Secara tidak sedar institusi yang berteraskan kasih sayang sebagaimana suruhan Tuhan berlalu bagaikan awan ditiup angin malah berganti dengan taufan yang bernadakan kemungkaran dan kesesatan.

Siapa lagi yang harus disalahkan andai takdirnya negara ini bakal berkumandang dengan gegaran letupan dan bedilan kalau tidak kepada mereka yang sekarang ini bergelar saf kepimpinan?Sepatutnya pemimpin memuliakan persaudaraan malah menjunjung tinggi kasih sayang apalagi para pimpinan kita adalah islam!Tetapi tiada persepakatan malah saling ingin bermusuhan tanpa ingin mencari titik perdamaian dan noktah persetujuan terus menjadi duri dalam daging bagi sebuah persaudaraan.Dimana ERTI sebuah kasih sayang jika keadaan ini kita biarkan berterusan?....Wasslam

Sabtu, 19 November 2011

Kualiti Yang Rakyat Mahukan

Dalam apa saja perkara mahupun bidang yang kita ceburi,yang paling mustahak adalah kualiti yang ada padanya.Sebagai contohnya jika kita membeli barang keperluan harian ataupun melakukan pekerjaan maka kualiti yang terlebih dahulu kita dahulukan.

Apatah lagi kalau sesuatu itu terlibat dengan perkara-perkara asas seperti berkaitan dengan hal kepimpinan,pendidikan dan kesihatan maka kualitilah yang kita mahukan kerana kesemua ini adalah perkara penting dalam kehidupan seharian dalam memacu sesebuah negara untuk terus mara jauh kehadapan dengan penuh gemilang.

Kepimpinan yang berkualiti sudah pasti akan memberi impak yang cukup baik pada sesebuah negara.Jika sebuah kepimpinan itu berkualiti maka akan kelihatanlah kemajuan negara tersebut dengan pantas walaupun pada peringkat awalnya terlalu perlahan peningkatan dalam perkembangan negaranya.Dulu negara kita tergolong dalam negara yang sama sekali tidak dijangka akan bercambah kemajuan sebegini hebat dalam masa singkat tetapi dengan daya kepimpinan serta peranan yang dimainkan oleh pemimpin negara dan rakyat maka kegemilangan negara ini menjadi sebutan dari bibir ke bibir sehinggakan negara kita menjadi salah satu contoh negara yang membina kehebatan dengan caranya yang tersendiri.

Kemasyhuran yang dikecapi oleh negara kita perlulah dikekalkan dengan memilih kepimpinan yang mempunyai daya kualiti yang hebat sesuai dengan masa yang semakin bergerak pantas ke depan.Kualiti yang ada pada seseorang pemimpin itu mestilah bermula dengan sifat-sifat mulia seperti amanah dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara serta berhati jujur dalam setiap apa saja tindakan yang dilakukan demi untuk rakyat didalam kerajaannya.

Kita tidak mahu melihat negara ini yang dibina dari titik keringat peluh dan darah pejuang-pejuang negara menjadi hancur sebegitu sahaja apabila rakyat gagal dalam memilih dan menilai kepimpinan yang bukan sahaja menjadikan negara ini semakin sumbang dari segi ekonominya malah membolehkan mereka mengaut keuntungan dan kekayaan dari kepayahan atau kesusahan rakyat sehinggakan andai terjadi sesuatu pada negara ini maka tempias sudah parti dirasakan oleh rakyat terutamanya.Sedangkan mereka ini tidak perlu untuk gundah gulana dengan apa saja keadaan kerana kekayaan sudah cukup untuk mereka menjalani kehidupan sehingga berketurunan lamanya.

Begitu juga dalam institusi kesihatan dan pendidikan yang memainkan peranan yang cukup besar dalam peningkatan negara kita ini kerana keduanya adalah elemen-elemen yang cukup penting.Jesteru itu kita mahu melihat kualiti yang ada institusi ini terus bertambah agar kesannya akan dapat dinikmati oleh rakyat dalam negara ini tanpa perlu mereka berkeluh kesah.

Kita berbangga kerana semakin hari semakin banyak institusi yang telah diberi lesen oleh kerajaan dalam melahirkan mereka yang berkualiti demi menjamin kesejahteraan rakyat yang semakin meningkat namun ada kalangan mereka yang melepasi tahap kelayakan rupanya tidak mempunyai kualiti yang sememangnya amat diharapkan oleh kerajaan kerana kelonggaran memilih sekarang.

Sebagai contohnya dalam bidang kesihatan,seringkali kita dengar tentang aduan mahupun rungutan rakyat terhadap kualiti yang ada pada para doktor yang baru tamat pangajian sekarang ini yang seolah-olah sebahagian besar daripada mereka tidaklah seindah mimpi yang dikhabarkan.Kadangkala mereka ini terpaksa pula diajar oleh para doktor yang lebih senior kerana kecetekan mereka dalam bidang ini menjadikan nyawa pesakit berada dalam keadaan yang cukup bahaya akibat ketidakupayaan para doktor ini menghayati kerja mereka.Bila ini berlaku maka akan kedengaran kematian yang seolah-olah disengajakan oleh hospital terbabit semuanya kerana kegagalan pihak terbabit dalam memilih doktor berkualiti.

Perkara yang berkaitan dengan nyawa tidak boleh diperlakukann sewenangnya walaupun kematian tidak dapat tidak pasti akan menjemput kita namun jika kematian adalah kerana kegagalan para doktor dalam mengenal pasti punca ataupun tidak tahu menahu dalam bidangnya maka sudah pasti kematian yang disengajakan akan berlaku lebih banyak lagi.Cegahlah sebelum terlambat agar bukan keluarga kita yang akan terpalit sama apabila mendapat doktor yang hanya gah dengan segulung ijazah dan gelaran tetapi gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Kita mahukan yang terbaik diberikan kepada rakyat.Rakyat  dalam negara ini juga hendaklah memilih mereka yang berkualiti dalam apa juga perkara termasuklah dalam pemerintahan negara.Jika kita berkualiti sudah pasti negara ini tidak rugi dan rakyatnya juga pasti semakin bijak bistari....Wassalam

Rabu, 31 Ogos 2011

Sebaik Budi Seluhur Kasih

Merdeka!Merdeka!Merdeka!...itu laungan penuh bermakna dan bersejarah 54 tahun yang lepas tatkala YAB Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengishtiharkan bahawa Tanah Melayu bebas dari belenggu penjajahan British sekalligus mengecapi nikmat kemerdekaan yang sebenarnya.

Perjuangan menuntut kemerdekaan terlalu banyak pahit maungnya apatah lagi bagi pejuang-pejuang negara pada zaman sebelum merdeka yang bermatian mempertahankan tanah pusaka ini dari terus dijajah dan dijajah selama berkurun lamanya.Darah merah yang membasahi bumi melayu ini tidak terkira banyaknya hanya semata-mata kerana mereka nekad ingin mempertahankan tanah pusaka bonda ini.

Pendekar-pendekar melayu pada waktu itu sanggup lakukan apa saja demi membebaskan tanah ini dari penjajahan sekaligus memberikan sejuta nikmat kepada generasi masa depan mereka pada hari iaitu kita yang kini mengecap sejuta kenikmatan dan keamanan serta kedamaian hasil dari perjuangan pejuang terdahulu.Mereka berkorban apa saja termasuk harta apatah lagi nyawa kerana sayangnya mereka pada ibu pertiwi dan kerana kasihnya mereka yang ingin melihat anak cucu cicit mereka bebas dari belenggu penjajahan serta tidak menderita seperti mereka

Semua yang kita kecapi sekarang sudah tentu tidak dapat kita nikmati sekiranya kita masih lagi di jajah.Kerana itu sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan tanahair wajib kita kenang dan dijadikan santapan utama terutamanya pada generasi baru kerana tanpa kita bongkarkan rahsia perjuangan ini maka sudah pasti generasi depan akan terlupa susur galur sejarah tanahair menuntut kemerdekaan sehingga tanah melayu berdiri gah pada hari ini bersama dengan negara yang terlebih dahulu merdeka.

Walaupun ada segolongan daripada mereka yang mendiami tanah ini seolah-olah cuba menafikan pembabitan sepenuhnya pejuang-pejuang melayu tetapi inilah faktanya.Tanah ini tanah melayu dan amat sinonim dengan bangsa melayu maka sudah pasti yang banyak berkorban dan terkorban adalah bangsa melayu.Beleklah sejarah dan ungkitkan segala fakta maka sudah pasti berderet nama pahlawan melayu yang telah menjadi mangsa korban dalam perjuangan menuntut dan mempertahankan kemerdekaan ini.

Kesedihan masa lalu  amat perit dan kesedihan yang menyelubungi masa kini juga perit tetapi yang pasti ini tanah melayu.Segala apa yang ada dalam perut bumi tanah ini dan hasil mahsulnya adalah milik bangsa melayu dan bumiputera yang sepatutnya digunakan khusus untuk menolong bangsa melayu dalam apa juga aspek pertolongan.Perjuangan datuk nenek moyang bangsa melayu ini dulu bukan untuk diberikan kepada orang lain tapi untuk bangsa mereka terutamanya dalam mengharungi hidup.

Tahun ini sudah 54 tahun tanah melayu ini mengecap erti merdeka namun masih lagi kedengaran suara-suara si miskin yang menagih bantuan daripada kerajaan datangnya dari bangsa melayu kebanyakkannya.Kekayaan tanah ini tidak ternilai banyaknya.Saban tahun kita diberitahu tentang kekayaan negara yang cukup luar biasa namun kemiskinan bagi bangsa melayu juga menjadi sangat luar biasa sehingga kadangkala cukup menghibakan kita mendengar dan melihatnya.

Apatah lagi menjelang musim perayaan maka hati dan fikiran kita disentap oleh santapan dari media massa dengan pembongkaran kemiskinan bangsa melayu yang sepatutnya tidak berlaku pada bangsa yang menjadi tuan pada tanah ini.Bukankah sudah peruntukan untuk si fakir miskin mahupun anak-anak yang tidak beribu bapa tetapi kenapa masih lagi mereka berduka nestapa menjelang hari raya?Apakah kita tidak mengambil pengajaran bangsa asing yang juga duduk mendiami bersama yang tidak pernah kedengaran suara miskin bangsa mereka?

Mengapa harus terjadi sebegini dalam tanahair yang terkenal dengan keamanan dan kekayaaanya?Kemana perginya kekayaan negara ini yang mencecah berpuluh billion banyaknya saban tahun tapi kemiskinan tetap melanda bangsa utama yang mendiaminya hinggakan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk memurtadkan mereka kerana kemiskinan?Apakah kekayaan negara ini tidak di agih dengan betul oleh mereka yang berkuasa atau terlalu banyak birokrasi mahupun konspirasi jentera yang menguruskannya?Atau kekayaan yang ada terus dipulun oleh mereka yang bermuka-muka dan terus mencari harta sejauh mata memandang untuk mengkayakan keluarga dan kroni mereka?Apakah harta didunia ini yang begitu banyak dapat memberkan nikmat syurga pada mereka yang punya kuasa tatkala rakyat terus dirundung duka merintih nasib masa depan mereka?Dimana perginya ketelusan dan keikhlasan mereka yang punya kuasa?

Sebelum kita menutup mata dan selagi kita masih berkuasa..gunakanlah kebijaksanaan dan juga kekayaan negara untuk diberikan dengan adil pada mereka yang tidak bermaya khususnya bangsa ku yang masih lagi kedengaran esak tangis yang sepatutnya tiada lagi didengari.Cukuplah..jangan lagi anak di rumah mati kelaparan kerana asyik memberi susu pada kera di hutan.Sesungguhnya syurga dan neraka tu jelas bagi kita semua khususnya bagi para penguasa yang diberi amanah untuk menjaga rakyat mereka.Jadilah penguasa seluhur kasih Abu Bakar As Sidiq dan sebaik budi Umar Abdul Aziz pada rakyat mereka wahai para penguasa negara dan negeriku..Wassalam

Jumaat, 26 Ogos 2011

Bermohon Ampunlah Dengan Mereka

" pada bonda tercinta...pada ayah yang rela berkorban..mohon keampunan dosa-dosa yang ku lakukan"..Cukup jelas bait lagu dendangan jamal abdillah ini menggambarkan betapa kita sebagai anak-anak kepada kedua orang tua wajib menghargai setiap titik keringat ibu bapa kerana pengorbanan mereka penuh dengan cinta dan rela dalam mendidik dan membesarkan kita dari sekecil tapak tangan sehinggalah kita dewasa.

Bagi mereka yang cukup menghargai semasa mereka masih ada maka beruntunglah mereka kerana syurga seorang anak terletak pada kaki ibu bapanya sementara mereka yang lalai serta leka sehingga melupakan kedua mereka maka masih sempat untuk  menjenguk meminta ampun dan maaf kepada mereka apatah lagi pada hari raya kerana sememangnya mereka menunggu kedatangan anak-anak mereka untuk beraya meskipun anak-anak mereka pernah menyakiti hati mereka.

Kita juga adalah ibu bapa kepada anak-anak kita maka sudah pasti kita juga merasai apa yang ibu bapa kita rasai.Senyuman dan hilai tawa keriangan anak-anak bagaikan madu dan dengkuran tidur nyenyan mereka kerana keletihan setelah seharian bermain bagaikan lagu yang menjadikan bersemangat untuk meneruskan kehidupan yang semakin mencabar dari hari ke hari.Itulah nilai anak-anak dari kacamata ibu bapa.Tidak ternilai harganya

Sesungguhnya percayalah bahawa tiada sesaat kebencian dalam diri ibu bapa terhadap anak-anak mereka kerana syurga dan penawar dalam hidup mereka adalah hilai tawa anak-anak mereka dalam menceriakan kehidupan mereka ketika masih lagi bernyawa.Hargailah kedua orang tua ketika mereka masih ada dengan sepenuhnya dan berdoalah untuk kemuliaan roh mereka ketika mereka sudah tiada.

Syawal yang bakal tiba ini marilah kita bersama-sama memuliakan ibu bapa dengan sepenuh daya kita kerana percayalah apabila ketiadaan mereka kelak maka sudah pasti segala kemesraan dalam kemuliaan ini akan terus menjengah memori kenangan kita tiap kali lebaran tiba.Saat itu sudah pasti bergenang kelopok mata kita dengan airmata kerinduan dan esak tangis kita akan menjadi lagu syahdu pagi syawal apabila teringatkan mereka.

Sebelum mereka meninggalkan kita maka hargailah mereka kerana yang merasai sedih serta sayunya berhari raya tanpa kedua ibu bapanya adalah mereka yang terlebih dahulu kehilangan kedua ibu bapanya.Ingatlah walau sebesar mana pun pangkat kita..sehebat manapun karisma kita..se gah mana pun gelaran kita serta sekaya pun kita maka selagi kita derhaka dan tidak memohon keampunan daripada ibu bapa kita jadilah kita orang yang celaka dan hina di sisi Allah Yang Maha Kuasa.Bermohon ampunlah dengan mereka semasa masih lagi dapat kita peluk cium mereka ..wassalam

Isnin, 22 Ogos 2011

Anak Raja Gondang: Bila Syawal Menjelang Tiba

Anak Raja Gondang: Bila Syawal Menjelang Tiba

Bila Syawal Menjelang Tiba

Ramadhan menuju penghujungnya..kini Syawal menjelma kembali setelah setahun berlalu...wajah keriangan terukir pada setiap umat islam kerana hari kemenangan semakin memunculkan dirinya..sebagai umat islam di tanah ini sememangnya kita wajib bersyukur dengan apa yang ada dalam tanah pusaka bonda yang bukan sahaja terselamat daripada bala bencana yang besar tetapi cukup aman untuk penganut agama ALLAH ini melakukan amal ibadah tanpa ada sebarang rasa ketakutan mahupun sekatan tidak sepertimana negara saudara seagama dengan kita yang lain..betapa damainya bumi kita.

Sesungguhnya kemuliaan bulan ramadhan dan diselangi dgn bulan syawal benar-benar memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada mereka yang tahu menggunakan kelebihan..pahala yang berganda sudah pasti akan dapat mereka miliki dengan segala amalan mulia dibulan ini apatah lagi menunggu malam-malam terakhir ramadhan yang dalamnya mempunyai malam yang amat ditunggu oleh seluruh umat islam untuk merasainya iaitu lailatul qadar..malam yang senantiasa menjadi malam keramat kerana kelebihan malam tersebut.

Keceriaan kehadiran syawal lebih dirasakan oleh kanak-kanak kerana mereka seolah-olah tahu tiba hari kemenangan ini dengan pakaian serba baru dan berwarna pada paginya..disertai dengan aroma masakan dan biskut yang menambahkan lagi kegembiraan di pagi syawal sebelum bertahmid memuji kebesaran Ilahi sebagai tanda syukur kita kepada Yang Maha Esa

Kadangkala meremang bulu roma apabila suara memuji kebesaranNya berkemundang pada malam raya lagi..Linangan airmata juga kadagkala tidak dapat ditahan dari mengalir kerana dua persepsi berbeza yang hanya dapat dirasakan oleh mereka yang mengalirkan airmata tanpa paksaan..Pada mereka yang telah pergi ,doa dipohon agar roh mereka dicucuri dengan rahmatNya...dan pada mereka yang masih ada lagi orang kesayangan terutamanya ibu bapa maka bermohon maaflah dengan penuh keinsafan agar segala dosa terhadap kedua mereka dapat mereka ampunkan.

Segala budi ibu bapa tiada dapat kita membalasnya kerana luhurnya mereka dalam mendidik dan menjaga kita tiada ternilai harganya..yang hanya mereka minta adalah anak-anak mereka menjadi kebangaan kepada mereka yang memegang teguh agama dan membela bangsa serta mempertahankan tanah pusaka.. juga yang mendoakan untuk mereka kelak apabila tiada lagi mereka diatas dunia ini.

Dan dalam masa kita mengecapi kegembiraan dan hari kemenangan ini..jangalah kita lupa untuk menjengah mereka yang tidak bernasib baik khususnya anak-anak yatim,fakir miskin dan mereka yang tidak mampu untuk mengadakan sepertimana yang kita adakan agar kegembiraan ini dapat kita kongsi bersama-sama dengan harapan segala duka yang mengulit mereka dan perasaan tidak seceria kita dapat ubati..kerana adat hidup atas dunia langit tidak selalunya cerah.

Mungkin hari raya ini kita bernasib baik dan mereka kurang bernasib baik tetapi tidak mustahil pada lebaran yang akan datang nasib mereka pula menjadi baik..lumrahnya dunia yang berputar mengikut ketentuan dariNya dan sebagai hamba yang taat setia dan beriman penuh kepadaNya maka wajib kita percaya pada qada qadar dariNya.

Tiada seorang pun daripada kita mahukan kedukaan atau kesedihan melanda tetapi itulah perjalanan hidup kita yang telah ditetapkannya..hanya doa sebagai pengantaranya antara kita dan Yang Maha Pencipta..sesungguhnya DIA lah Yang Maha Memakbulkan doa.

Kepada muslimin dan muslimat yang dirahmati..saya mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri..Maaf Zahir Batin atas segala salah silap terkasar bahasa semasa saya menulis mahupun berkata-kata...wassalam